Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Thursday, September 11, 2008

Sekadar Renungan Bersama

  • Seseorang yang masuk kerja pukul 8.35 pagi sedangkan waktu kerja adalah 8.35 pagi dah dikira lewat datang kerja. Tetapi jika seseorang itu sembahyang Zohor pukul 2.00 petang atau 2.30 petang masih dikira awal waktu mengikut tafsiran umum sedangkan masuk waktu Zohor di Semenanjung Malaysia adalah sekitar 1.15-1.30 petang. Bukankah ini salah faham namanya?
  • Kita mengutuk dan mengeji Amerika terutamanya di saat pencerobohan Amerika pada beberapa negara Islam. Tetapi aneh ramai daripada kita tidak boleh meninggalkan rokok yang sebahagiannya dibuat oleh syarikat Amerika. Tidak kurang juga di kalangan kita yang menjadi peminat dan pembeli setia filem-filem Amerika yan kaya dengan propaganda, terutamanya filem-filem aksi perang dan perang. Di satu sudut kita jadi penentang dan di satu sudut yang lain kita menyokong mereka. Adakah ini maknanya benci tapi sayang?
  • Kalau ada pelancaran skim-skim amanah saham maka berduyun-duyunlah masyarakat pergi melabur untuk masa depan katanya. Tetapi jika ada pelancaran Tabung Derma (saham Akhirat) untuk membantu pihak-pihak yang memerlukan, untuk mengumpul satu juta RM pun cukup payah dari rakyat Malaysia. Malah ada yang mengambil masa berbulan-bulan walau mendapat publisiti meluas melalui media massa. Mana yang lebih kita cinta?
  • Kita sangat sensitif dan terharu apabila mendengar ada ibu bapa yang mendera fizikal anak-anak dan yang membuang bayi di merata-rata tempat. Tetapi kita jarang berasa sedih dan terharu apabila ramai ibu bapa yang mendera anak-anak, secara maknawinya tidak mendidik anak-anak menjadi anak-anak yang soleh seperti mengenal Allah, sembahyang, hormat orang tua, tutup aurat dan sebagainya agar tidak didera oleh malaikat di dalam kubur dan di akhirat nanti. Bukankah perbuantan ini juga boleh diibaratkan buang anak juga iaitu buang anak dalam neraka?mana lebih hina?
  • Kita selalunya akan cepat-cepat mengucap terima kasih pada sesiapa yang membantu kita dan mengenang budinya sampai bila-bila. Tetapi dengan Tuhan yang memberikan kita segala nikmat yang tak terhintung banyaknya, setiap detik dan masa, kita jarang rasa terhutang budi dan berterima kasih setiap masa dengan cara yang dituntut-Nya.
  • Kita pasti berasa malu dan terhina bila ada orang yang mendedahkan keaiban kita. Tetapi tidak pun rasa malu dengan Tuhan yang sudah sedia tahu kesalahan kita lahir dan batin, kecil dan besar.
  • Kita selalu rasa dia salah, dia jahat, dia tidak betul, dia menyeleweng dan sebagainya. Tetapi kita jarang sekali berfikir “aku jahat, aku berdosa, aku tidak betul, aku bersalah, kerana aku dia jadi begitu” sedangkan sikap-sikap ini dianjurkan.
  • Kalau ada kosert-konsert atau pesta maka bepusu-pusu untuk memeriahkannya. Tetapi jika ada kuliah-kuliah agama dan ilmu kita sering menjauhkan dan menyibukkan diri dengan hal duniawi.

Monday, September 1, 2008

Biar AUKU dipinda, siswa tetap terjajah

Pengumuman Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bahawa pemimpin parti politik, termasuk pembangkang boleh memberi ceramah kepada mahasiswa di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) selepas pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) disambut dengan hati berbelah-bagi dan berhati-hati oleh mahasiswa.

Gabungan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (GMUKM) memuji langkah berani kabinet membudayakan suasana keintelektualan di universiti melalui pindaan akta tersebut.

Mahasiswa sudah lama kekeringan idea daripada kedua-dua belah pihak, kerajaan dan pembangkang. Mahasiswa hanya memperolehi penerangan sesuatu isu melalui internet atau secara sembunyi-sembunyi menghadiri penerangan pembangkang.

Langkah kerajaan ini akan memberikan satu suasana demokrasi kepada para mahasiswa yang diibaratkan sebagai jantung pemikiran bangsa Malaysia akan datang.

GMUKM juga melihat pindaan AUKU sebagai satu manifestasi keterbukaan dasar perdana menteri dan juga mengelakkan mahasiswa daripada mendengar pandangan sebelah pihak sahaja.

Juga, dengan adanya kebebasan media, ia akan membentuk mahasiswa sebagai golongan tidak berkepentingan atau kumpulan bebas dan bukannya menjadi jurucakap kepada parti politik tertentu.

Segala isu terkini dan semasa akan dihadam dan dikaji oleh mahasiswa tanpa halangan atau ketakutan untuk membicarakannya.

Oleh yang demikian, mahasiswa perlu menggunakan ruang kebebasan yang diberikan oleh kerajaan hari ini dengan bijaksana dan profesional. Janganlah hanya pemimpin kerajaan sahaja dijemput ke program di kampus sedangkan pemimpin pembangkang dipinggirkan - dan sewajarnya begitulah juga sebaliknya, jangan hanya pemimpin pembangkang diundang.

GMUKM melihat pindaan akta itu dibuat bagi memberi mahasiswa dan universiti persekitaran lebih kondusif serta menyiapkan diri mahasiswa untuk memimpin negara kelak.

Benarlah bahawa jiwa muda mahasiswa akan memberontak sekiranya mahasiswa ditekan dan dihalang hak asasinya oleh mana-mana pemerintah seperti yang berlaku di Indonesia.

Justeru, pindaan ini boleh memberikan nafas baru kepada semua IPTA dalam merealisasikan matlamat menaikkan pemeringkatan universiti masing-masing di mata dunia.

Di samping itu, pengumuman menteri berkenaan bahawa melalui pindaan itu, mahasiswa yang melakukan kesalahan mengikut AUKU tidak lagi akan dihadapkan ke mahkamah dan akan hanya dihadapkan di tribunal universiti.

Jika dahulu kesalahan mengikut AUKU boleh diambil tindakan mahkamah tetapi dengan pindaan ini semua penguatkuasaan kesalahan mahasiswa akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada universiti, kata Mohamed Khaled.

Tetapi, mahasiswa sebenarnya tertakluk juga pada undang-undang negara. Jika mahasiswa didapati melakukan rasuah dan penyelewengan, maka Akta Pencegahan Rasuah 1997 akan terpakai kepada mereka.

GMUKM juga menyambut baik pindaan AUKU yang membolehkan pelajar yang dikenakan tindakan disiplin, termasuk digantung oleh pihak universiti, mengambil peperiksaan. Jelas bahawa Seksyen 15 (D)(1) akta yang kini akan secara automatik tidak terpakai.

Sebelum pindaan, seseorang mahasiswa yang dituduh atas satu kesalahan akan digantung daripada menjadi mahasiswa sehinggalah keputusan prosiding jenayah itu diselesaikan. Maknanya jika tujuh tahun masih lagi tidak diselesaikan kesnya, maka pelajar tersebut akan terus menganggur dan hilang status kemahasiswaan.

Hal inilah yang berlaku kepada tujuh pelajar yang diseret ke mahkamah selepas membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kira-kira tujuh tahun lalu.

Bagaimanapun pindaan akta masih tidak membenarkan mahasiswa menganggotai atau terbabit dengan mana-mana organisasi atau parti politik. Ia mungkin untuk menjadikan mahasiswa bersifat non-partisan tetapi bagi GMUKM, mahasiswa wajar juga didedahkan dengan organisasi politik.

Maknanya, mahasiswa wajar diberikan hak berpolitik sepenuhnya seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 10 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Pindaan itu nanti bagaimanapun menyediakan satu alternatif - mahasiswa dibenarkan menganggotai persatuan atau pertubuhan tidak bertunjangkan politik.

Aktivis mahasiswa sedang ternanti-nantikan perbahasan di Dewan Rakyat bukan ini agar suasana demokrasi - walaupun tidak sepenuhnya - dapat dihirup di IPTA.

GMUKM berkeyakinan penuh bahawa pindaan AUKU ini akan tetap disokong oleh 222 ahli parlimen kita termasuklah Pakatan Rakyat walaupun ada peruntukan AUKU yang masih mendiskriminasi mahasiswa.

Jelas, mahasiswa masih terjajah dengan pindaan AUKU ini dan ia dilakukan secara kosmetik dalam suasana kerajaan BN sudah tidak diterima umum terutamanya oleh mahasiswa.